Psikologi Perkembangan
Pertumbuhan dan Perkembangan Fizikal, Kognitif dan Emosi Remaja
v:shapes="BLOGGER_PHOTO_ID_5031429996211801714">Adolescence atau 'remaja' itu berasal daripada perkataan Latin iaitu "adolescere" yang bermaksud "membesar" atau "membesar menjadi matang" (Rogers, 1981).
Dari sini menunjukkan zaman remaja itu merupakan suatu proses dan bukannya satu jangkamasa. Proses yang dimaksudkan di sini ialah proses mencapai atau memperolehi sikap dan kepercayaan yang diperlukan demi penglibatan yang berkesan dalam masyarakat. Zaman remaja ini dilihat sebagai satu zaman yang dimulai dengan akil baligh dan berakhir apabila memasuki alam dewasa. Ia merupakan satu zaman peralihan atau transisi antara zaman kanak-kanak dengan zaman dewasa.
Definisi remaja ini banyak diperkatakan oleh ahli psikologi dan ada di antaranya mendefinisikan remaja sebagai suatu tempoh perkembangan fizikal, satu konsep yang abstrak, satu fenomena sosiobudaya atau berdasarkan sikap remaja terhadap hidup.
Manakala menurut Kamus Dewan ( Edisi Tiga ) remaja merupakan mulai dewasa, sudah akhil baligh, sudah cukup umur untuk berkahwin dan sedang melalui proses inginkan 'cinta'.
Persoalan yang sering dikaitkan dengan pencarian identiti adalah merupakan persoalan utama bagi remaja. Persoalan "Siapakah saya?", "Apakah bidang kerjaya yang sesuai dengan saya?", dan sebagainya yang membawa maksud identiti apa yang membuatkan seseorang itu berbeza dengan orang lain.
Zaman remaja adalah tempoh yang mana seorang individu dikelilingi oleh isu-isu seksual, iaitu keupayaan mengalami ataupun melahirkan perasaan seks. Perubahan kematangan seks dan perubahan hormon yang terlibat adalah asas bagi kematangan seks seorang remaja. Zaman remaja adalah masa mempelajari seks dengan tujuan mencari suatu identiti seks peribadi. Pada peringkat usia ini remaja mempunyai perasaan ingin tahu yang tinggi mengenai misteri alam seks. Pada peringkat ini remaja memikirkan sama ada mereka mempunyai daya tarikan seks, adakah perkembangan mereka berterusan, adakah mereka akan dicintai oleh seseorang dan adakah normal apabila mereka melakukan hubungan seks. Kebanyakan remaja akhirnya menunjukkan perkembangan seksual yang matang tetapi terdapat jangka masa yang mana hadirnya perasaan kekeliruan dan perasaan mudah dilukai sepanjang kehidupan seksual mereka.
Mengikut seorang ahli psikologi Stanley Hall (1904) zaman remaja ialah jangka masa seseorang itu mengalami berbagai cabaran dan tekanan ( storm and stress ). Ini bermaksud remaja yang mengalami perubahan fizikal, intelek serta emosi dan terpaksa berhadapan dengan berbagai konflik di dalam dirinya dan juga masyarakat.
Perkembangan fizikal remaja perlu diketahui bagi membantu memahami tentang sesetengah remaja yang lambat atau cepat dalam pekembangan mereka dan apakah kesan-kesan disebaliknya.
Ketika ini remaja-remaja lelaki dan perempuan secara sedar atau tidak akan mengalami perubahan dari segi bentuk tubuh badan dan emosi. Perubahan-perubahan ini berlaku akibat tindakan hormon dalam bentuk badan. Kadar pembesaran dan perubahan zaman remaja adalah berbeza di antara remaja lelaki dan perempuan. Malah kadar pembesaran adalah berbeza di antara seorang individu dengan individu yang lain.
Kematangan Biologi
Pada awal alam keremajaan, remaja selalunya sibuk menyesuaikan diri dengan pertumbuhan yang berlaku pada tubuhnya. Kesedaran ke atas kejantinaan diri semakin bertambah. Ini sudah pasti memberi kesan kepada imej tubuh serta konsep kendiri. Pada usia beginilah dia terlalu prihatin dengan keadaan tubuhnya. Dia sering membezakan dirinya dengan rakan sebaya yang lain. Remaja yang cepat matang mempunyai beberapa kelebihan apabila dibandingkan dengan yang lambat matang. Mereka terlebih dahulu mengambil tempat dalam masyarakat remaja sementara mereka yang lambat matang perlu bersaing daripada sudut fizikal dan sosial bagi mendapat tempat yang istimewa dalam kelompok remaja.
Tingkah Laku Heteroseksual
Remaja zaman dahulu mempunyai sikap yang berbeza ke atas pelbagai aspek seksual berbanding dengan remaja zaman sekarang, terutamanya remaja perempuan. Sebuah kajian ke atas kelompok pelajar sebuah kolej di Amerika Syarikat di antara tahun 1900 dengan tahun 1980 menunjukkan peratusan orang muda yang melakukan hubungan seks meningkat; dan kadar pelajar perempuan yang melakukan hubungan seks meningkat lebih cepat dibandingkan dengan pelajar lelaki. Remaja perempuan belajar mengaitkan seks dengan cinta. Beberapa buah kajian di Barat menunjukkan bahawa cinta adalah faktor utama ramai remaja perempuan melakukan hubungan seks. Keinginan berkahwin dengan pasangan mereka juga wujud di kalangan pelajar wanita tetapi kurang bagi pelajar lelaki. Faktor-faktor lain adalah seperti desakan teman lelaki, perasaan ingin tahu dan keinginan seks yang tidak berkaitan dengan cinta.
Akil Baligh
Di akhir zaman kanak-kanak, satu siri perubahan biologi dan psikologi akan berlaku yang membawa mereka ke alam remaja. Alam remaja akan membawa mereka ke dalam kematangan sama ada dari segi fizikal, dan pemikiran mereka turut berubah serta turut berperanan dalam masyarakat.
Baligh adalah merupakan perubahan biologi yang menandakan permulaan remaja. Ianya bermula apabila tahap hormon yang memasuki salran darah meningkat ekoran respon kepada isyarat daripada bahagian otak iaitu hipotalamus. Apabila tahap pertumbuhan hormon bertambaha dalam badan, lonjakan pertumbuhan kanak-kanak dengan tiba-tiba akan berlaku. Lonjakan ini merupakan tanda yang nyata tentang permulaan akhil baligh. Apabila ini berlaku perkara yang paling ketara semasa baligh adalah merupakan perkembangan permatangan seksual iaitu kebolehan pembiakan.
Bagi remaja lelaki perubhan yang akan berlaku ialah suara menjadi garau, misai dan janggut mula tumbuh, bahu dan dada menjadi bidang, jerawat mula tumbuh, mengalami mimpi yang menghairahkan sehingga mengeluarkan air mani serta zakar dan buah zakar mula membesar. Pengalaman inilah menunjukkan remaja lelaki telah akil baligh.
Bagi remaja perempuan pula perubahan yang akan dialami seperti buah dada (payudara) mula membesar, bulu tumbuh di celah ketiak dan bahagian ari-ari, Punggung melebar menunjukkan ciri-ciri kewanitaan, jerawat mula tumbuh, mula didatangi haid, suara mungkin berubah dari suara keanak-anakan kepada suara yang lebih matang.
Teori dan Konsep
Menurut Jean Jacques Rousseau (1712-1778), akil baligh bermula pada usia 15 tahun atau mungkin lebih awal dari yang dianggarkan. Pada masa ini, kanak-kanak melalui peringkat kedua kelahiran, bentuk badan mula berubah dan keinginan muncul dari dalam, "Perubahan angin, kemarahan, perubahan fikiran, membuatkan mereka tidak dapat mengawal". Mula berasa segan atau malu apabila berhadapan dengan kehadiran orang yang berlainan jantina, mereka mula merasai perasaan seksual. Dengan kata lain mereka mula tertarik antara satu sama lain. Remaja juga mengalami perkembangan kognitif. Mereka sudah mampu menghadapi konsep yang lebih abstrak dan mula berminat dalam perkara-perkara yang melbatkan teori dalam pelajaran sains dan moral.
Manakala Sigmund dan Anna Freud, awal remaja adalah peringkat yang paling bermasalah disebabkan perubahan dramatik psikologi yang berlaku pada masa ini. Dorongan seksual dan agresif, yang bukan semasa peringkat latensi, sekarang mengganggu ego dan daya tahannya. Zon genital, khasnya didorong tenaga seksual yang hebat, dan remaja ini sekali lagi dilanda fantasi oedipal. Remaja ini mungkin rasa susah atau tidak selesa apabila berada di kalangan ibu bapanya.
Stanley Hall (1904) berpendapat perkembanagan seseorang individu ditentukan oleh naluri iaitu tenaga-tenaga biologi dan faktor genetik dan bukannya persekitaran. Beliau mengatakan zaman remaja sebagai zaman 'storm and stress' yang bersifat biologikal yang terhasil daripada perubahan-perubahan yang berlaku semasa baligh yang tidak dapat dielakkan. Mencapai akil baligh merupakan satu masa apabila emosi menjadi tidak stabil dan tergugat. Hall percaya bahawa hasil daripada tekanan-tekanan dan perubahan tersebut, remaja akhirnya akan menjadi individu yang matang dan bermoral.
Zaman remaja bukan sahaja suatu jangka masa yang dapat menggugat diri remaja tetapi juga keluarganya. Proses pembesaran dan usaha ke arah kematangan bukanlah suatu perjalanan yang mudah. Dalam usaha menyatupadukan tuntutan biologi dan sosial (yang mungkin bertentangan), kekeliruan boleh terjana dalam kehidupan seorang remaja. Umpamanya dorongan syahwatnya wajib dikekang menurut ajaran agama serta norma-norma sosial.
Perkembangan Identiti
Setiap individu mempunyai identiti.. Akan tetapi bukanlah mudah untuk memberi pengertian yang tepat tentang identity. Ini disebabkan setiap identity seseorang itu amatlah rumit dan ia melibatkan pelbagai kualiti dan dimensi. Selain itu erti identiti juga bergantung atas pengalaman subjektif. Dari situ boleh juga secara rengkasnya identity bererti satu set cirri personaliti yang lebih kurang stabil.
Individuasi merupakan proses di mana remaja mula mempunyai satu identitii yang berbeza antara dengan yang lain. Proses ini melibatkan empat fasa iaitu perbezaan, amalan dan eksperimen, membaharui perhubungan dan konsolidasi.
Fasa perbezaan yang berlaku pada awal remaja, di mana dia akan tahu bahawa wujud perbezaan antaranya dengan ibu bapa dari segi psikologi. Ini akan menjadikan remaja menyoal dan membincang nilai dan nasihat ibu bapa walaupun ianya adalah betul. Mereka tidak akan melakukan perkara yang dicadangkan , ini semakin mendalam apabila remaja itu sedar bahawa ibu bapanya bukanlah begitu sempurna seperti yang dianggapnya semasa kanak-kanak.
Semasa amalan dan eksperimen pula, remaja berpendapat dia tahu segalanya dan tidak akan melakukan kesilapan. Remaja pada masa ini tidak akan menerima nasihat dan mencabar kewibawaan ibu bapa dalam keadaan tertentu. Remaja meningkatkan komitmen terhadap rakan sebaya yang memberinya sokongan dan persetujuan yang dicari-carinya.
Membaharui perhubungan merupakan fasa yang berlaku pada pertengahan zaman remaja apabila dia telah dapat mengasingkan dirinya daripada ibu bapa. Kesedaran yang menimbulkan sediit rasa gundah dan ketakutan akibat pengasingan ini membawanya kembali ke pangkuan ibu bapa dan menerima semula autoriti ibu bapa tetapi dengan syarat. Selalunya remaja akan mencabar dan pada masa yang lain akan bekerjasama dan berdamai. Pada fasa ini, didapati remaja sering cuba sedaya upaya menerima tanggungjawab di rumah tetapi akan merasa marah dan geram apabila ibu bapa berkeras untuk memastikan masa untuk balik ke rumah dan harus diberitahu ke mana remaja itu pergi.
Konsolidasi pula merupakan fasa keempat yang akan berlarutan sehingga akhir remaja. Pada masa ini remaja akan membina identity personaliti dan ini menjadi asas memahami dirinya dan orang lain serta mengekalkan autonomi, kebebasan dan individulitinya. Sebagai contoh remaja pada fasa ini berumur lingkungan 18 dan 19 tahun boleh menentukan kerjayanya dan berusaha terhadap pencapaian cita-citanya dan boleh membayangkan cara bagaimana untuk menyara dirinya pada masa hadapan. Proses individuasi ini berlanjutan masa zaman remaja dan selalunya sehingga dewasa.
Perkembangan Konsep Kendiri
Konsep kendiri merupakan satu aspek yang penting kepada kewujudan dan tingkah laku seseorang individu. Persepsi terhadap kendiri ternyata akan menentukan apa yang seseorang itu alami dan bagaimana ia mengalaminya. Konsep kendir juga membenarkan seseorang individu menghubungkan diri dengan persekitaran dengan cara yang tidak akan menggugat keutuhan peribadi.
Konsep kendiri amat penting kepada remja kerana pelbagai sebab. Oleh kerana mengalami peningkatan kekuatan fizikal dan tahap autonomi semasa ini, remaja mula mempunyai darjah kebebasan yang tertentu. Jika semasa ini remaja mempunyai konsep kendiri yang tidak betul, maka sudah tentulah ia amat membahayakan kepada diri mereka dan orang lain. Mereka mungkin akan menjadi devian, tiada keyakinan diri, tersisih dan sebagainya.
Konsep kendiri remaja juga berkaitan dengan cara remaja itu mempersepsikan dirinya secara fizikal. Ekoran itulah remaja terlalu prihatin dengan bentuk tubuh badannya, fesyen rambut dan baju menjadi symbol diri dan remaja mula gemar merayau-rayau di kompleks membeli-belah.
Cara mengukuhkan konsep kendiri antaranya adalah:-
- Pengukuhan melalui kesempurnaan kendiri
Cara ini merupakan kaedah yang paling asas untukkukuhkan konsep kendiri atau dengan kata lain satu proses menjadikan yang terbaik dan diri yang sebenar. Kesempurnaan kendiri menekankan soal perkembangan potensi kendiri yang membina dan bukannya tumpuan pada halangan-halangan hidup atau penyesuaian seperti takut, bimbang, kecewa dan sedih. Kesempurnaan kendiri ini tidak semua remaja dapat mencapainya. Walaubagaimanapun remaja perlu dibimbing untuk berusaha bergerak untuk mencapainya. - Pengukuhan melalui identifikasi
Identifikasi bermaksud kemuncak niali dan tuuan hidup kendiri. Remaja tidak boleh membuat identifikasi dengan orang lain dengan cara keterlaluan kerana dibimbangi mereka tiada identiti kendiri, sukar menyatukan nilai-nilai orang lain dan akan hidup di bawah bayang-bayang orang lain. Ini sering berlaku kerana remaja sering membuat identifikasi dengan pelakon kesayangan atau penyanyi pujaan mereka yang sebenarnya tidak dikenali. Hakikatnya, remaja perlu sedar tentang kewujudan diri yang unik. Tidak salah membuat identifikasi dengan orang yang terkenal dengan syarat tidak keterlaluan dan jika orang itu membuat remaja berazam untuk berjaya. - Pengukuhan melalui kecemerlangan dan pencapaian
Salah satu aspek yang dapat menyumbang kepada pengukuhan kendiri remaja ialah kecemerlangan dan pencapaian. Kedua-dua ini merupakan satu desakan untuk bersaing sesama sendiri yang kemudiannya akan menentukan arah kendiri, membuatkan remaja lebih bebas untuk membuat keputusan sendiri, lebih bersedia dengan cabaran dan tuntutan persekitaran dan lebih mempunyai keupayaan daya tindak. - Pengukuhan melalui identiti
Identiti tidak sama dengan konsep kendiri. Identiti merujuk kepada perasaan yang seseorang itu berbeza dengan orang lain. Jika seseorang remaja memperolehi identity maka ia jadi individu yang jujur dan unggul yang wujud bukan di bawah bayang-bayang orang lain. Ia kan jadi individu yang bebas dan berkeyakinan. Krisis identiti pula bermaksud satu tempoh masa bergelut atau satu tempoh masa secara aktif remaja mempersoalkan diri dan hidupnya demi memperolehi satu keputusan kerjaya, kepercayaan dan nilai.
Zaman remaja boleh dikatakan pemikiran mereka mualai berubah dengan cepat dan kadang-kadang susah bagi ibu bapa memahaminya. Boleh dikatakan masa ini remaja banyak menyelesaikan masalah melalui cara yang berbentuk logic dan bukan berdasarkan fakta sahaja. Ini selaras dengan pendapat Jean Piaget di mana kanak-kanak yang berumur 12 tahun ke atas pemikiran mereka lebih mirip ke arah olahan formal. Pemikiran atau kognisi mengalami banyak peubahan semasa zaman remaja. Bukan sahaja pemikiran remaja berubah dari segi daya penaakulan, tetapi juga pemikiran jadi abstrak serta wuud kognisi sosial.
Perkembangan Kognisi Remaja
Apabila remaja mula mentaakul secara abstrak, mereka sering menjadi amat bangga dengan kemahiran ini kerana berfikir bahawa mereka boleh menyelesaikan segala masalah. Sikap ini menjadikan remaja terlalu idealistic dan kurang menghargai batasan logic (Piaget 1967). Contohnya remaja hairan mengapa ibu bapa tidak sedar beberapa kesilapan yang mereka lakukan semasa membesarkan anak-anak.
Perkembangan pemikiran formal juga membawa kepada kekeliruan, iaitu antara pemikirang mereka sendiri dengan pemikiran orang lain. Kekeliruan pandangan merupakan satu bentuk egosentrisme yang menekankan masalah dan pemikiran abstrak. Remaja yang egosentrik ini akan mengandaikan yang orang lain akan terus memikirkan tentang prestasinya secara terperinci seperti apa dia sedang lakukan. Sebenarnya remaja tidak ada bukti tentang wujudnya situasi itu.
Perkembangan Moral
Semasa remaja, peraturan sosial mula dipersoalkan kerana remaja mula sedar tentang piawai moral yang bersifat subjektif yang dibina oleh individu-individu tertentu boleh berubah dan boleh ditentang. Peraturan sosial dilihat sebagai jangkaan sosial, sama ada daripada ibu bapa atau masyarakat yang tidak semestinya dipatuhi.
Pemikiran Remaja dalam Empat Bidang Kognitif Sosial
Domain | Pemikiran Praremaja | Pemikiran Remaja |
Tanggapan terhadap orang lain | Umum, egosentrik, konkrit, tidak tersusun dan tidak menentu | Boleh dibezakan, objektif, abstrak dan tersusun |
Pengambilan peranan | Berupaya meletakkan diri di tempat orang lain tetapi sukar memahami bagaimana pandangan seseorang boleh mempengaruhi orang lain | Boleh menjadi pihak ketiga dan dapat lihat gambaran yang lebih jelas |
Penaklukan moral | Moral berdasarkan peraturan-peraturan konkrit yang dibuat oleh orang-orang berautoriti | Moral terbit daripada persetujuan antara individu-individu atau daripada prinsip-prinsip abstrak |
* Dari jadual di atas, kita dapat lihat bagaimana pemikiran remaja jadi lebih abstrak, lebih hipotetikal dan relativistic.
Para remaja akhirnya sedar bahawa peraturan sosial itu perlu demi mengawal tingkah laku manusia. Ia mungkin bersifat sementara dan berubah, tetapi kita harus mematuhinya kerana kita semua diharapkan mematuhinya dan bertingkah laku dengan betul atau selaras dengan tuntutan masyarakat. Lama kelamaan remaja juga sedar bahawa peraturan sosial berperanan dalam menyelaraskan interaksi dengan orang lain.
Apabila remaja dapat mengatasi egosentrisme dalam perhubungan dengan orang lain, mereka menunjukkan kemajuan secara signifikan dalam penilaian moral, atau pemahaman tentang tindakan yang meningkatkan kebajikan manusia dalam pelbagai situasi. Akan tetapi pengetahuan ini tidak semestinya diterjemahkan kepada tingkah laku sebenar. Walaupun begitu, sekurang-kurangnya keadaan akan memperlihatkan ciri itu( Hoffman 1980)
Aspek lain dalam perkembangan moral ialah ‘rasa bersalah’ yang berubah daripada perasaan bersalah kanak-kanak dari segi cirri dan focus. Remaja akan berasa bersalah jikalau tidak melakukan sesuatu atau apabila melakukan sesuatu yang salah. Perubahan berlaku sama ada remaja menilai apa yang dipaparkan dari perbuatan salah atau memperlihatkan situasi dalam hidupnya sendiri. Contohnya tidak menjemput rakan ke rumah boleh melukakan hati rakan kerana kesannya serupa dengan apabila mengkritik rakan secara terbuka. Pandangan ini memerlukan pemikiran formal: iaitu mengenal pasti tentang sesuatu yang mungkin berlaku dan bukan sahaja tentang apa yang dilakukan sebenar.
Dari sini jelas bahawa remaja berupayaberfikir secara formal, iaitu kebolehan berfikir tentang idea. Pemikiran formal merupakan kebolehan berfikir tentang kemungkinan, penaakulan saintifk dan kebolehan kombinasi idea secara logic. Decara amnya dapat dikatakan pemikiran formal meningkatkan penyelesaian sistematik kepada banyak masalah kognitif.
Asal usul tugas perembangan adalah bertitik tolak daripada perkembangan individu itu dari segi fizikal dan psikologi yang mewujudkan pelbagai desakan. Selain itu individu itu juga berhadapan dengan kehendak dan jangkaan masyarakat terhadapnya. Desakan dalaman dan luaran ini mewujudkan satu situasi yang berkehendakkan individu itu menguasai tugas oerkembangan jikalau remaja hendak berjaya dalam hidup.
Antara tugas perkembangan remaja adalah:-
- Menguasai peranan jantina
Remaja mesti belajar menerima peranan sosialnya sebagai lelaki atau perempuan mengikut garisan yang ditetapkan oleh masyarakat. Bagi remaja lelaki tugas ini mudah dicapai kecuali mereka yang tidak rol model lelaki dan mempunyai minat seperti kaum perempuan. Bagi remaja perempuan, ramai yang berhati-hati menerima peranannya untuk menjadi isteri dan ibu, terutama sekali mereka yang ingin melanjutkan pelajaran sebagai persediaan kerjaya. Mereka perlu menyesuaikan diri dengan rakan sebaya dan bekerjasama serta memahami pandangan orang lain dalam perbincangan. - Menerima dan mengguna dirinya dengan berkesan
Remaja perlu bangga dengan dirinya, mengguna dan melindungi dirinya dengan berkesan dan memuaskan. Masyarakat banyak mengutamakan rupa fizikal dan pertumbuhan sebagai pengukur sama ada remaja itu cantik, lebih tinggi daripada rakannya atau adik beradiknya untuk mendapat pujian. Kerana masyarakat mengajar remaja menilai diri berasaskan rupa fizikal, maka adalah dijangkakan perkara ini menjadi punca kebanggaan, minat, keyakinan, keraguan, kegelisahan dan perasaan rendah diri di kalangan remaja. Menerima diri seadanya akan membawa kepada kebanggaan dan kepuasan diri. - Mencapai perhubungan baru dan matang dengan rakan sebaya
Matlamatnya ialah, remaja belajar untuk menganggap perempuan sebagai wanita dan lelaki sebagai lelaki. Mereka mesti belajar sebagai orang dewasa apabila bersama orang dewasa dan belajar bekerjasama dengan orang lain dengan tidak mengambil kira perasaan sendiri. - Mencapai kebebasan emosi
Remaja harus mencapai kebebasan emosi daripada ibu bapa tetapi membina kasih saying yang erat serta hormat terhadap mereka dan orang dewasa lain. Remaja yang gagal dalam tugas ini mempunyai tabiat bergantung kepada ibu bapa, tidak berupaya berfikir sendiri tentang perkara penting dan tidak tahu berinteraksi dalam persekitaran orang dewasa kerana masih lagi seperti kanak-kanak dari segi emosi. - Mencapai kebebasan ekonomi
Tugas ini lebih kepada remaja lelaki berbanding perempuan walaupun pada masa ini ianya juga penting bagi remaja perempuan bagi menyara diri sendiri. - Memilih dan bersedia untuk bekerja
Remaja perlu memilih kerjaya yang sesuai dengan kebolehan. Tugas ini anatara perkara penting dan dianggap sukar bagi remaja untuk membuat keputusan. - Bersedia untuk berumah tangga
Bersedia menerima matlamat kehidupan untuk membina sikap positif terhadap hidup berkeluarga dan mempunyai zuriat, megetahui tentang pengurusan rumahtangga serta cara pemilihan kanak-kanak. - Membina kemahiran intelektual dan konsep untuk kecekapan sivik
Tugas ini merujuk kepada pembinaan konsep peraturan dan undang-undang, kerajaan, ekonomi, geografi, manusia dan institusi sosial yang sesuai dalam kehidupan moden. Remaja perlu membina kemahiran berlkomunikasi dan kebolehan pentaakulan untuk menyelesaikan masalah dengan berkesan. Minat dan motivasi yang tinggi merupakan asas dalam meningkatkan kebolehan untuk belajar dan ianya berbeza bagi setiap individu. Remaja juga boleh melakukan kesilapan apabila dia tidak berkebolehan dan tidak mempunyai matlamat walaupun dia memiliki perwatakan yang baik.
Kebanyakan remaja berjaya melepasi zamannya, tetapi ada juga sebilangan dari mereka mengalami pelbagai masalah psikologi dan tingkah laku yang menggugat bukan sahaja hidup remaja itu sendiri tetapi juga kehidupan orang-orang di sekelilingnya. Masalah-masalah yang berkaitan seperti penagihan dadah, masalah pemakanan, kemurungan dan masalah tingkah laku. Zaman remaja merupakan zaman serba boleh dan ingin mencuba segala sesuatu bagi remaja. Zaman inilah yang akan menentukan berjaya atau tidak seseorang remaja sekiranya jalan atau cubaan yang dilakukan tepat atau sebaliknya bagi menjamin kesejahteraan hidup mereka kelak.
Permasalahan ini perlu dilihat dengan cara perspektif yang betul dan juga terlebih dahulu perlu memahami prinsip-prinsip umum masalah psikososial remaja terlebih dahulu.
Achenbach dan Edelbrock (1987) mengatakan bahawa kebanyakan ahli psikologi klinikal dan juga ahli-ahli psikologi yang lain membahagikan dua jenis masalah yang dialami oleh remaja:-
- Kecelaruan dalaman
Masalah-masalah remaja bersifat dalaman dan dimanifestasikan dalam bentuk gejala emosi dan kognitif seperti kemurungan atau dalam bentuk gangguan-gangguan psikosomatil. - Kecelaruan luaran
Masalah-masalah remaja bersifat luaran dan dimanifestasikan dalam bentuk masalah-masalah tingkah laku. Ianya seperti masalah tingkah laku delinkuen, penyalahgunaan dadah dan alcohol serta ponteng sekolah.
Pengaruh Rakan Sebaya
Peringkat remaja merupakan masa hubungan sosial bukan terhad yang bukan sahaja melibatkan ibu bapa tetapi juga rakan sebaya. Peringkat kanak-kanak, rakan sebaya mempunyai pengaruh yang terhad, tetapi zaman remaja rakan sebaya mempunyai peranan yang sangat penting dan perhubungan pada masa ini sangat kritikal. Minat mereka selalunya adalah lebih mirip kepada minat rakan daripada ibu bapa.
Remaja juga memperolehi kemahiran sosial yang hanya boleh didapati dan dilatih di kalangan rakan sebaya. Bagi remaja, rakan sebaya menjadi sumber maklumat utama tentang dirinya dan juga orang lain. Rakan sebaya menjadi asas untuk membuat perbandingan antara tindakannya, sikapnya, perasaannya dan orang lain.
Pada umumnya remaja lelaki dan perempuan yang popular dianggap sebagai suka kepada orang lain, bertoleransi, bersimpati dan suka membantu rakan-rakan dengan membuat mereka rasa diterima dan melibatkan diri dengan merancang dan memulakan aktiviti kumpulan yang menarik dan menyeronokkan. Remaja seperti ini bersikap ceria, bersemangat, baik hati, boleh berjenaka, mempunyai daya usaha, dorongan dan idea yang baik.
Remaja yang tidak disanjung dan disingkirkan oleh rakan-rakan mempunyai cirri-ciri yang bertentangan dengan mereka yang popular. Remaja ini merasa kurang yakin pada diri sendiri, penakut dan cuba menjauhkan diri dari rakan sebaya. Remaja yang bersikap agresif, sombong dan terlalu mendesak akan tidak disukai dan kemungkinan ditolak rakan sebaya.
Kumpulan sebaya dikatakan menyumbang terhadap perkembangan sosial remaja terutamanya dalam pencapaian identity mereka. Paling penting kumpulan remaja dapat memberi sokongan kepada ahli-ahlinya di samping keluarga mereka. Di sinilah remaja berpeluang mencuba berbagai peranan identity yang akhirnya akan menyumbang kepada personalitinya apabila dewasa kelak.
Pengaruh Ibu bapa
Pengaruh ibu bapa dalam tingkah laku dan cir-ciri personaliti remaja boleh dipengaruhi oleh cara didikan semenjak dari kecil lagi. Walaubagaimanapun seringkali timbul masalah antara ibu bapa dan remaja. Perbezaan pemahaman dan pengalaman merupakan masalah yang ketara dan ini dinamakan sebagai jurang generasi. Jurang generasi merupakan salah satu punca konflik antara remaja dan ibu bapa. Ianya adalah perbezaan yang terdapat dalam nilai, sikap dan tingkah laku antara generasi tua dengan generasi yang lebih muda iaitu remaja. Ibu bapa selalu memarahi anak remaja mereka yang dianggap tidak mematuhi kehendak dan peraturan mereka. Perhubungan antara remaja dan ibu bapa akan baik sekiranya mereka berjauhan seperti anak remaja melanjutkan pelajaran ataupun bekerja di tempat lain.
Perhubungan ibu bapa dan remaja yang positif akan membantu remaja menjalani kehidupan yang mencabar dan menyeronokkan. Ini disebabkan remaja akan mempunyai hubungan yang baik dengan ibu bapa mereka dan sering berkongsi masalah serta nilai-nilai yang baik antara satu dengan lain.
Hubungan antara tingkah laku dan personaliti remaja adalah dipengaruhi oleh cara didikan ibu bapa mereka. Baumrind (1968) telah mengenal pasti lima kategori gaya keibu bapaan seperti berikut:
Ibu bapa autoritarian
Cara didikan kategori ini adalah mengawal dan menilai tingkah laku remaja dengan menggunakan standard mutlak atau kawalan ketat. Tidak ada tolak ansur tetapi remaja kena patuh segala arahan mereka. Ibu bapa beranggapan bahawa mereka tahu apa yang baik dan buruk dan perlu patuh tanpa menyoal. Dari sini remaja akan berpegang teguh kepada nilai-nilai tradisional dan terus akur dengan kehendak ibu bapa walaupun ada di kalangan remaja yang marah dan menyimpannya di dalam hati mereka.
Individu yang dibesarkan dengan cara ini lebih cenderung untuk mematuhi perintah dan akur kepada pihak berkuasa, mempunyai pemikiran yang konkrit, idea yang konvensional dan menyimpan rasa marah yang terkawal.
Ibu bapa yang mengabaikan anak-anak
Ibu bapa yang mengabaikan anak-anak tidak begitu keras dari segi kawalan dan disiplin anak-anak serta tidak tekal dalam amalan mereka. Mereka tidak menerangkan kepada anak-anak mengapa tindakan tersebut dilakukan apabila menghukum atau mendenda dan biasanya ia lebih mengikut mood dan perasaan mereka. Remaja akan tidak dapat membendung rasa marah dan melepaskannya dalam bentuk tingkah laku anti-sosial.
Individu yang dibesarkan dengan cara ini akan bertindak melanggar undang-undang dan tidak mematuhi norma masyarakat. Kajian menunjukkan sebilangan besar remaja delinkuen telah dididik dalam keadaan terabai yang akan bertindak secara agresif dan tidak mempunyai kawalan diri seperti ibu bapa mereka.
Ibu bapa yang amat melindungi
Ibu bapa sukar melepaskan anak-anak mereka melakukan sesuatu dengan sendiri dan sedaya upaya akan menentukan apa yang perlu dilakukan oleh anak-anak dan bila patut buat. Mereka menggalakkan tingkah laku bergantung dan pasif serta mendisiplinkan mereka dengan cara tidak memberikan kasih saying sekiranya anak-anak tidak mengikut arahan mereka.
Individu yang dibesarkan dengan cara ini akan cenderung untuk menjadi bergantung, pasif, bersopan dan akur. Remaja juga akan menjadi penakut, malu dan kurang keyakinan diri serta sukar untuk memjadi pemimpin dan melakukan aktiviti bersama rakan sebaya.
Ibu bapa permisif
Ibu bapa membenarkan remaja menggunakan diri mereka sebagai sumber serta mengikut kehendak remaja tanpa mendesak mengikut keinginan mereka. Ibu bapa bukan sebagai orang yang bertanggungjawab dalam membentuk tingkah laku remaja. Remaja yang menerima didikan seperti ini mempunyai tingkah laku agresif dan tidak bertanggungjawab terutamanya remaja lelaki akan menunjukkan tingkah laku buli dan mementingkan diri sendiri.
Ibu bapa autoritatif
Ibu bapa mesra dengan anak-anak dan menerima mereka dengan baik serta dalam masa yang sama memberi kebebasan kepada anak-anak. Mengikut Baumrind (1971), ibu bapa autoritatif menggunakan budibicara mereka dalam mengawal dan mendisiplin anak-anak supaya dapat disesuaikan dengan keperluan mereka. Ibu bapa menerangkan sebab atas segala tindakan dan sentiasa menjelaskan tentang harapan dan permintaan mereka yang perlu difahami oleh kanak-kanak tetapi boleh bertolak ansur dalam hal demikian itu. Di samping itu ibu bapa juga sentiasa memberi pertimbangan kepada pendapat atau maklum balas daripada anak-anak.
Ibubapa autoritatif mahu anak-anak mereka hidup bahagia dan mengawal hidup mereka sendiri dan sebagai ibu bapa mereka membantu dari segi persediaan menjadi dewasa yang mempunyai kebebasan. Bersedia mendengar dan mendidik anak-anak dengan tegas supaya anak-anak mereka mempunyai kekuatan ego dan berdisiplin.
Didikan seperti ini akan menjadikan remaja cenderung menjadi egen sosial yang aktif dan mempunyai daya usaha, boleh berdikari, disiplin yang tinggi, bertanggungjawab, boleh berfikir untuk diri sendiri dan berpegang teguh kepada nilai dan prinsip hidup.
Rujukan
- David Schwartz, Jonathan Nakamoto, Andrea Hopmeyer Gorman, Tara McKay. 2006.
Jurnal Psikologi Perkembangan. Popularity, Social acceptance, and Aggression in Adolescent Peer Groups:Links With Academic Performance and School Attendance. . Jld/Volum 42. American Psychological Association. - Jafar Mahmud. 2004. Development Psychology. New Delhi. A P H Publishing
Corporation. - Jas Laile Suzana Jaafar. 2000.Psikologi Kanak-Kanak dan Remaja. Dewan Bahasa dan
Pustaka. Kuala Lumpur - Kamarulzaman Kamaruddin. 2003. Psikologi Perkembangan: Teori dan Konsep.Pustaka
Salam Sdn. Bhd. - Ma’rof Redzuan, Haslinda Abdullah. 2004. Psikologi. Edisi Kedua. McGraw-Hill
(Malaysia ) Sdn. Bhd. - Mohd. Saleh Lebar. 1999. Memahami Psikologi. Thinker’s Library Sd. Bhd.
- Noel A. Card, Ernest V.E.Hodges. 2006. Shared Targets For Aggression by Early
Adolescent Friends. Jld/Volum 42. American Psychological Association.